Oleh Dato' Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah
1. Semua orang ada jodoh atau pasangan yang menanti dan biasanya ia
berada tidak jauh dari anda. Jarang orang bertemu dengan jodoh yang
berada jauh darinya.
2. Jodoh itu ketentuan Allah dan kita
wajib berusaha. Doa, usaha yang betul dan bersungguh-sungguh disertai
dengan tawakkal, insyallah akan menemukan anda dengan pasangan anda.
3. Ramai orang masih belum bertemu jodoh kerana mudah patah semangat.Teruskan usaha sehingga anda bertemu jodoh.
4. Seimbangkan hidup anda dengan sempurna agar diri anda jadi seperti "magnet" yang menarik bakal pasangan anda kepada anda.
5.
Daya tarikan yang sebenar berpusat di hati yang murni. Berusahalah
untuk mencuci hati anda daripada semua perasaan yang negatif terhadap
semua orang di dunia ini.
6. Agar mudah orang sayang, cuci
hati dengan jaga ibadah, solat taubat, beristighfar, baca Al-Quran,
maafkan orang lain, meminta maaf, bersedekah dan berfikiran positif.
7.
Sayangi semua orang di sekitar anda dan anda akan menarik sayang
terhadap anda. Jika anda membenci orang, ditakuti bakal pasangan anda
akan membenci anda.
8. Orang yang sedang mencari pasangan
harus sentiasa bersedia untuk bertemu dengan pasangannya pada bila-bila
masa. Justeru, kita perlu sentiasa dalam keadaan yang paling menarik
setiap masa. Tanggapan pertama adalah yang terpenting.
9.
Untuk lelaki, tarikan pertama ialah pakaiannya. Untuk perempuan, wajah
dan bentuk badan menjadi tarikan pertama. Sediakan diri untuk menawan
bakal pasangan anda.
10. Buka hati dan minda anda untuk
menerima cinta. Cinta boleh berputik pada bila-bila masa. Cinta mudah
datang kepada mereka yang sentiasa bersedia untuk menerima cinta.
11.
Cinta datang melalui mata lalu turun ke hati. Justeru, perhebatkan
hubungan mata secara memandang bakal pasangan dengan penuh kasih
sayang.
12. Kita boleh berkomunikasi melalui fikiran.
Hantarlah kasih sayang dan hasrat murni anda terhadap pasangan dengan
gelombang fikiran ini secara berterusan hingga berjaya.
13.
Ramai yang terlepas peluang dan patah hati sebab lewat menyatakan
hasrat kepada bakal pasangan. Perkara yang baik disegerakan (iaitu
menyatakan perasaan anda kepada bakal pasangan).
14. Tidak
salah untuk orang perempuan memulakan usaha untuk berkenalan. Orang
lelaki akan sentiasa merasakan mereka yang memulakan perkenalan
walaupun sebenarnya orang perempuan yang mulakan.
15.
Berkomunikasi dengan mesra dan bersemangat menggunakan lidah, mata,hati
dan bahasa badan. Elakkan bercakap sambil lewa atau kurang sopan
terhadap bakal pasangan.
16. Berbual dengan pasangan mengenai
apa yang dia suka. Beri tumpuan kepada minat dan perasaannya. Elakkan
sibuk memberi tumpuan kepada diri sendiri.
17. Layan bakal
pasangan dengan mesra seperti kawan lama walaupun baru berkenalan.
Bentuk suasana keintiman dengan segera agar bakal pasangan rasa selesa.
18. Makin mudah kita menceritakan hal peribadi yang munasabah
kepada bakal pasangan, semakin mudah dia menceritakan hal dirinya
kepada kita.
19. Berdoa dan latih diri agar kita pandai
mendampingi orang lain dan seronok untuk didampingi oleh orang lain.
Buang perangai yang menyebabkan orang benci kepada kita.
20.
Beri sayang untuk mendapat sayang. Orang yang masih ada perasaan benci
terhadap sebarang orang boleh menyebabkan bakal pasangan benci atau
tidak tertarik kepada kita. Justeru buang semua benci
21.
Untuk wanita, jangan jual mahal terhadap bakal pasangan.
Tetapi,nyatakan dengan hikmah kepadanya yang anda amat sukar untuk
berkenalan dengan lelaki lain.
22. Kebanyakan lelaki mudah
tertarik kepada perempuan yang simple, tidak materialistik, mudah
berterima kasih dan redha dengan setiap pemberian lelaki tersebut.
23.
Orang perempuan mudah tertarik kepada lelaki yang memberi perhatian,
penghargaan dan penghormatan kepada mereka. Justeru, orang lelaki
janganlah terlalu jimat atau kedekut.
24. Orang lelaki perlu
belajar mengenal kerenah orang perempuan. perasaan,pemikiran, kehendak,
keperluan, kesukaan dan kebenciannya.
25. Elakkan memberi
tumpuan kepada kelemahan dan kesilapan kecil yang ada pada bakal
pasangan. Jangan sesekali mengutuk atau memalukan bakal pasangan.
26. Senyuman ikhlas, wajah yang menawan dan bahasa badan yang penuh kemesraan akan menambat lelaki terhadap wanita.
27.
Orang mudah tertawan kepada bakal pasangan yang ada persamaan dan ada
perbezaan sifat, tindakan dan minat. Terlalu banyak persamaan
membosankan. Banyak sangat perbezaan menyesakkan.
28. Orang
mudah tertarik kepada bakal pasangan yang ada sikap dan sifat yang
saling mengimbangi dan melengkapkan sikap dan sifatnya.
29.
Walaupun belum kenal rapat dengan bakal pasangan, nyatakan yang anda
sering merasa atau berfikir seperti yang dia rasa atau fikir.
Keserasian adalah tarikan.
30. Perempuan membentuk hubungan
dengan berbual dan bercakap. Lelaki bentuk hubungan dengan melakukan
sesuatu kegiatan secara bersama.
31. Orang mudah tertawan
kepada bakal pasangan yang mempunyai persamaan daripada berbagai segi
seperti kefahaman politik, aktiviti keagamaan, sikap terhadap harta,
wang dan hobi.
32. Dua orang yang amat banyak perbezaan boleh
serasi antara satu sama lain jika mempunyai satu atau dua persamaan
yang mendalam seperti suka kepada kucing, suka melancong atau suka
ramai anak.
33. Tindakan yang serentak akan menarik bakal
pasangan terhadap anda.Contohnya, serentak berpaling, serentak angkat
gelas, serentak berdiri,serentak nak ke tandas,pakaian serentak.
34.
Tawan hati bakal pasangan dengan pamerkan emosi yang sama terhadap
sesuatu kejadian atau peristiwa – sama-sama gembira, sedih,
terperanjat, benci, simpati dan sebagainya.
35. Dua insan
mudah serasi jika mempunyai pentafsiran yang sama mengenai hubungan –
tahap keakraban, kebebasan, kebergantungan, pemberian, pengorbanan dan
sebagainya.
36. Kenalpasti ciri-ciri yang disukai oleh bakal
pasangan anda. Bentuk ciri-ciri yang disukai oleh bakal pasangan anda.
Bentuk ciri-ciri ini dalam diri anda dan pamerkan kepadanya yang anda
mempunyai ciri-ciri tersebut.
37. Semua orang mencari cinta
sejati tanpa syarat. Bakal pasangan anda akan tertarik kepada anda jika
anda mengasihinya bukan kerana wajah, harta,keturunan atau glamornya.
38.
Bakal pasangan akan tertawan kepada anda jika anda dapat bantu
mengukuhkan imej dirinya, rangsang semangatnya dan pupuk keyakinan
dirinya.
39. Keikhlasan amat penting dalam memuji atau
memotivasi bakal pasangan. Jika kita didapati bohong, dia akan terus
menjauhkan diri daripada kita.
40. Pujian yang berhikmah dan
ikhlas bertindak sebagai magnet yang menarik anda kepada bakal
pasangan. Pujian daripada kawan baru lebih bermakna dan berkesan
berbanding pujian daripada kawan lama.
41. Ulang sebut
perkataan, ayat atau slogan yang digemari bakal pasangan anda. Ini
menyebabkan dia rasa istimewa dan dihargai dan akan tertawan kepada
anda.
42. Kenalpasti keistimewaan bakal pasangan anda yang
orang lain tidak nampak. Sampaikan kehebatan ini dengan bersemangat dan
dia akan mudah tertawan kepada anda.
43. Untuk bakal pasangan
yang popular dan sering dipuji , cari pujian yang original untuk
menambat hatinya. Untuk orang yang tidak popular, sebarang pujian amat
dialukan dan ihargai.
44. Beri penghargaan serta merta kepada
setiap pencapaian atau kejayaan bakal pasangan. Ini membelai dan
melembutkan hatinya terhadap anda.
45. Jika bakal pasangan
memuji anda, pamerkan keseronokan anda dengan senyuman dan ucapan
terima kasih dan bersyukur. Dia akan rasa dihargai.
46. Cari
keunikan, kelucuan atau 'kegilaan' bakal pasangan anda. Nyatakan yang
anda suka kepadanya sebab keunikan tersebut. Ini buat dia rasa
istimewa.
47. Ramai pasangan sengsara bila isteri terlalu
cantik atau suami terlalu handsome. Justeru, cari bakal pasangan yang
setara dan sepadan dengan kita.
48. Orang yang merasa dirinya
hodoh sukar untuk mendapat pasangan. Carilah kecantikan yang ada pada
anda dan bentuk keyakinan diri. Hati yang suci dan keyakinan yang
tinggi menyerlahkan kecantikan anda.
49. Wanita mudah tertawan
kepada lelaki yang gentleman – bersopan santun, suka membantu,
menghormati wanita, berani dan yakin diri.
50. Untuk jadi
lebih menawan, berterusan belajar, perbaiki perangai dan peribadi,
baiki kemahiran komunikasi, murnikan hati, pemaaf dan sentiasa
bersangka baik.
51. Lelaki harus mempamerkan sifat
kelelakiannya di samping memasukkan sifat perempuan dalam dirinya
seperti lebih prihatin, memahami emosi ,timbang rasa, dan gunakan gerak
batin.
52. Perempuan harus mempamerkan sifat kewanitaan
disamping menghayati sifat lelaki seperti minat dalam politik, sukan,
memancing, dan aktiviti macho yang lain. Bertindak bijak tapi, jangan
terlalu bijak.
53. Untuk menambat hati wanita, kerap bertanya
tentang perasaannya,aktiviti yang dijalankannya, kegemarannya,
kebenciannya atau sebarang perkara yang berkaitan dengan emosi.
54.
Sebelum benar-benar rapat, orang perempuan harus elakkan diri dari
bertanya bakal pasangan mengenai perasaannya mengenai sesuatu
perkara,peristiwa atau situasi.
55. Orang lelaki amat pantang
bila bakal pasangan menempelak atau menunjukkan kesilapan atau
kebodohan lelaki tersebut. Ini cara terbaik memutuskan hubungan.
56.
Orang perempuan mudah tertawan kepada lelaki yang boleh mengaku salah,
meminta maaf, meminta bantuan, bertolak ansur, pandai mendengar,
bersabar dan lemah lembut terhadap wanita.
57. Bila bercakap
dengan lelaki, orang perempuan harus fokus kepada fakta dan sampaikan
secara ringkas. Penjelasan yang berjela-jela dan memasukkan unsur
perasaan akan membunuh minat lelaki terhadapnya.
58. Jika
orang perempuan marah, pujuklah dengan kasih sayang. Tanya kenapa dia
marah, dengari dengan teliti dan jangan komen atau cuba beri nasihat.
Orang perempuan mudah sayang pada lelaki yang pandai mendengar dan
sensitif kepada perasaannya.
59. Jika lelaki marah, jangan
sibuk nak tanya kenapa dia marah. Pamerkan kasih sayang dan bentuk
suasana yang tenang. Doakan dia dan beri masa untuk dia merawat dirinya
sendiri.
60. Fahami bahawa orang lelaki bercakap secara terus
terang, ringkas dan objektif. Orang perempuan sering bercakap secara
berlapik, terperinci dan banyak yang tersirat.